Friday, July 2, 2010

Esok 3 Julai 2010 dan Dulu 2 Julai 2005

Esok 3 Julai 2010. hari pertama pendaftaran siswa siswi baru sidang 2010/2011. dan generasi kedua bagi universiti APEX. kalau tahun lepas aku cuma membantu unit tajaan dan ditugaskan memberi taklimat kelestarian. tahun ini tugas aku lebih berat apabila aku turut membantu dalam acara paling bersejarah iaitu Majlis Sambutan Siswa di samping tugas memberi taklimat masih kekal. bezanya kali ini aku juga perlu beri taklimat di kampus kejuruteraan.

Dulu 2 Julai 2005. Masih aku ingat. dada bagai mahu pecah. badan seram sejuk. dan air mata mahu tumpah. tatkala aku melafaz ikrar dan janji sumpah lantas diisytihar rasmi menjadi pelajar berdaftar USM hampir 5 tahun yg lalu.

Dulu 2 Julai 2005. Aku menangis bukan kerna sedih. apatah lagi kecewa. tapi aku menangis kerana terharu. tidak sangka rahmat kasih Allah masih ada untuk diri ini. mengizinkan aku menjejakkan kaki di universiti yang bagiku sangat hebat. bukan saja pada nama. tapi pada perananya. Alhamdulillah...aturanMU sangat indah Ya Muhaimin...ku yakini. inilah yang terbaik untukku.

Dulu 2 Julai 2005. dan kini...aku tidak pernah menyangka. sama sekali tidak menduga. aku masih di sini. berkhidmat dan berbakti. dengan menguruskan dan menyaksikan ribuan yg terpilih antara terpilih. untuk melafaz ikrar dan janji sumpah sebagai pelajar USM. dan apakah mungkin ada antara mereka yang akan mengalirkan air mata keharuan sepertiku dahulu?

Esok 3 Julai 2010. seorang ibu akan mengucup lama dahi anaknya. dan seorang ayah akan tersenyum bangga mengusap kepala. seorang adik akan berpisah dengan abangnya. dan seorang kakak akan melambai sayu adiknya. baik-baik menjaga diri. tuntutlah ilmu hingga tahap paling tinggi. doa kami akan sentiasa mengiringi...semoga kalian berjaya di dunia dan akhirat nanti.

Esok 3 Julai 2010. dan dulu 2 Julai 2005. yang berlalu menjadi kenangan. yang tiba menjadi harapan. InsyaAllah. semuanya akan baik-baik saja...

No comments: